
Ketua Umum PKR itu berkata, tumpuan kini adalah menerima pendirian yang dibuat oleh PAS semasa muktamar baru-baru yang memuktamadkan keputusan membatalkan kerjasama politik dengan partinya.
“Keputusan tersebut dapat diduga melihatkan pendirian parti tersebut beberapa tahun kebelakangan yang lebih lunak dengan Umno; tidak membangkang belanjawan yang memperkenal GST, menaikkan harga minyak dan gula dan tidak menyertai perhimpunan Bersih 5.”
Namun, kata beliau, pihaknya merasa kecewa kerana kenyataan demi kenyataan yang menyelar pendirian PKR, malah mengelirukan berkaitan RUU 355 yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah.
“Kita merasa kecewa kerana kenyataan yang menyelar pendirian PKR, malah mengelirukan berkaitan RUU 355.
“Sandiwara menarik berulang, PAS menyerang PKR kerana kononnya menentang RUU 355, dan media Umno-BN mengecam presiden kerana kenyataannya menyokong hudud!
“Presiden telah menjelaskan, dan saya ingin menegaskan dalam perkara RUU 355, PKR menghormati hak PAS membentang, tetapi harus dibahaskan dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen,” kata Anwar.
Tambah beliau, yang memutuskan untuk tidak membentang semula adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang bermakna RUU tersebut terkubur dengan sendirinya.
“Kita musykil mengapa tidak ada sanggahan terhadap Umno? Mengenai hudud, yang tertera dalam al-Quran harus diakui oleh semua Muslim.
“Kenyataan Presiden yang panjang lebar menjelaskan pandang ulama mengenai keutamaan dan pengalaman kemerdekaan Indonesia yang ingin memelihara keamanan dan kesatuan republik,” kata beliau.
Sambil menekankan beliau dan PKR menghargai keprihatinan dan muafakat selama hampir 2 dekad ke atas PAS, terutama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Fadzil Noor, Datuk Yusuf Rawa dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Anwar menambah, keputusan PAS terkini mengejutkan dan menghampakan ramai.
“Namun demikian pilihan mereka untuk beralih dari ketetapan lama dan menuju ke aras baru yang tidak ingin kami duga,” kata beliau.
Usul muktamar PAS itu diterima oleh Majlis Syura Ulama pada 11 Mei lalu. Ia membawa kepada polemik berhubung kedudukan 3 exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor yang diterajui Datuk Seri Azmin Ali.
Dua hari lalu, Anwar berkata, masih ada ruang untuk membincangkan kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor walaupun parti Islam itu sudah menamatkan hubungan kerjasama dengan PKR.
“Saya harap kita masih boleh membincangkannya. Kita perlu tunggu Azmin pulang,” katanya.
“Kami ada perjanjian (dengan PAS) untuk membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci,” katanya kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Dalam perutusannya hari ini, Anwar menegaskan PKR tidak perlu berhempas pulas dengan isu RUU 355.
Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara berkata demikian dalam amanatnya yang dibacakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan dalam isu RUU355, parti itu menghomati hak PAS untuk membentangnya tetapi perlu dibahaskan dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen.
“Yang memutuskan untuk tidak membentang semula adalah Datuk Seri Najib Razak yang bermakna RUU tersebut terkubur dengan sendirinya.
“Kita musykil mengapa tidak ada sanggahan terhadap Umno?” soalnya.
Muktamar PAS sebulat suara terima usul putus hubungan dengan PKR