Kamu tak akan menang di Muar tanpa ihsan PH, Loke ingatkan Syed Saddiq

Kamu tak akan menang di Muar tanpa ihsan PH, Loke ingatkan Syed Saddiq

Setiausaha agung DAP berkata kemenangan di Parlimen Muar juga mewakili blok PH.

Loke Siew Fook berkata kemenangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar bukan kemenangan individu.
PUTRAJAYA:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengingatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa presiden Muda itu tidak akan memenangi Parlimen Muar tanpa ihsan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, PH bersetuju tidak bertanding di kerusi itu dan lima kerusi lagi, sebagai persefahaman kerjasama politik pada PRU lalu.

“Muar bukan kemenangan peribadi Syed Saddiq. Jangan lupa dia bertanding di Muar kerana persefahaman dengan PH, kita bagi Muda enam kerusi (pada PRU15).

“Kita bagi dia laluan, bermakna kemenangan itu juga mewakili blok PH,” kata Loke selepas Kongres Kebangsaan DAP.

Beliau mengulas laporan Muda mempertimbang menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan selepas Presiden Umno Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Pada PRU15, Syed Saddiq mempertahankan kerusi Parlimen Muar dengan majoriti tipis iaitu 1,245 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Muda dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pendiriannya dalam blok kerajaan lewat hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.