MyLesen: 170,000 pelajar sekolah bakal miliki lesen B2

MyLesen: 170,000 pelajar sekolah bakal miliki lesen B2

Ini ekoran bayaran yang dikenakan untuk permohonan lesen lebih murah berbanding kadar biasa.

mylesen

PETALING JAYA:
Program MyLesen dijangka dapat membantu kira-kira 170,000 belia khususnya pelajar sekolah di seluruh negara memiliki lesen motosikal kelas B2 (kapasiti enjin di bawah 250 cc) menjelang akhir tahun ini.

Ini ekoran bayaran yang dikenakan untuk permohonan lesen lebih murah berbanding kadar biasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata ia sekali gus membantu mengurangkan jumlah penunggang motosikal tanpa lesen dan pastinya akan menurunkan kadar kemalangan kerana mereka akan lebih peka mengenai undang-undang dan peraturan jalan raya.

Setakat ini lebih 65,000 belia memiliki lesen berkenaan menerusi program yang dilancarkan sejak 14 Sept tahun lepas.

“Kami bercadang untuk melaksanakan Program MyLesen sebanyak tiga kali setahun bermula tahun depan.

“Kami akan menambah baik program ini dalam setiap fasa bagi memastikan ia terus relevan seterusnya menjadi platform pilihan masyarakat untuk mendapatkan lesen motosikal,” katanya, lapor Bernama.

Ismail menegaskan program myLesen akan diteruskan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemanduan berhemah serta risiko menunggang motosikal tanpa lesen dan perlindungan insurans yang sah.

Program MyLesen dilaksanakan bersama-sama institusi serta akademi memandu dan dilancarkan serentak di seluruh negara pada 15 Sept 2015, merupakan lanjutan komitmen kerajaan melalui JPJ berdasarkan konsep merakyatkan perkhidmatan awam.

Program dengan slogan 1 Rakyat 1 Lesen itu menyasarkan golongan belia yang belum memiliki lesen memandu sah dan terdiri daripada mereka berumur 16 tahun ke atas di bandar dan luar bandar.

Bayaran bagi mendapatkan lesen di bawah program berkenaan hanya RM299 berbanding kadar biasa iaitu dalam lingkungan RM350 dan ke atas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.