Mukhriz ada hasrat jadi pemimpin, tapi bukan dengan pakatan jahat

Mukhriz ada hasrat jadi pemimpin, tapi bukan dengan pakatan jahat

Beliau berkata Tunku Aziz tidak berhak menyerang kredibiliti dan mencemuhnya seperti dalam kenyataan-kenyataan sebelum ini.

mukhriz_Tunku-Aziz_baru_600
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahahir akui selaku seorang ahli politik ada menyimpan hasrat menjadi seorang pemimpin, tetapi bukanlah dengan cara mengadakan “pakatan sulit” dan membelakangkan parti-parti rakan seperti yang didakwa pengkritiknya.

Mukhriz dalam penyata saksi kes samannya terhadap bekas naib pengerusi DAP Tunku Aziz Tunku Ibrahim menepis dakwaan kononnya ada pakatan antara Lim Kit Siang dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengangkatnya sebagai perdana menteri, terutama selepas pengumuman Pakatan Harapan baru-baru ini.

“Justeru, di manakah asasnya dakwaan-dakwaan defendan sebelum ini yang kononnya memperolehi maklumat daripada sumber-sumber yang kononnya boleh dipercayai?” katanya dalam penyata yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Beliau berkata Tunku Aziz tidak berhak menyerang kredibiliti beliau dan mencemuhnya seperti dalam kenyataan-kenyataan sebelum ini.

“Sekiranya saya bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, niat dan cita-cita itu tidak boleh dijadikan asas atau justifikasi kepada defendan untuk mencemuh, menuduh dan berterusan dalam tuduhannya,” kata Mukhriz.

Beliau berkata tindakan Tunku Aziz telah mencalar reputasi beliau dengan “amat teruk sekali”, menyebabkan masyarakat memandang serong dan mempunyai persepsi bahawa Mukhriz seorang gila kuasa, pengamal politik kotor, tidak berprinsip dan tidak bermoral.

“Setiap orang yang berada di dalam arena politik pasti menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pemimpin, termasuklah menjadi seorang perdana menteri.

“Namun, hasrat tersebut hendaklah lahir dengan hati yang suci dan murni kerana tanggungjawab dan amanah yang akan dipikul adalah amanah besar negara,” katanya.

Bekas menteri besar Kedah itu menyaman Tunku Aziz tahun lepas yang didakwa memfitnah beliau dalam 2 kenyataan media.

Tunku Aziz mendakwa ada “pakatan sulit” antara bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan veteran DAP, Lim Kit Siang untuk mengangkat Mukhriz sebagai calon perdana menteri dan Kit Siang sebagai timbalannya.

Pakatan Harapan pada Ahad menamakan Dr Mahathir calon perdana menteri mereka untuk pilihan raya umum akan datang, dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail calon timbalan perdana menteri.

Mukhriz menuntut ganti rugi dan permohonan maaf daripada Tunku Aziz.

Perbicaraan akan bersambung pada 18 Januari di depan Hakim Datuk Nordin Hassan, dan peguam Tunku Aziz, Datuk Seri Jaharberdeen Mohamad Yunoss akan menyoal Mukhriz.

Mukhriz diwakili peguam Haniff Khatri Abdulla dan Illyanie Noor Khuszairy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.