Zahid seru masyarakat India sokong BN, tutup cerita lama

Zahid seru masyarakat India sokong BN, tutup cerita lama

Timbalan perdana menteri itu juga berjanji akan memujuk perdana menteri menambah bantuan kepada masyarakat India dalam waktu terdekat.

zahid-thaipusam
BATU CAVES: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru masyarakat India menyokong Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada “hari besar” akan datang.

Timbalan perdana menteri yang merujuk “hari besar” itu sebagai pilihan raya umum ke-14 berkata, dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan, beliau berharap masyarakat India menutup cerita lama.

“Saya harap kita tutup cerita lama. Masyarakat India tutup buku lama.

“Mana-mana yang tidak bersetuju, lupakan ketidaksetujuan itu,” katanya ketika berucap sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves hari ini.

Terdahulu, Zahid mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada RM25 juta yang diumumkan sebelum ini untuk diserahkan kepada kuil di Batu Caves.

Peruntukan tambahan itu bertujuan bagi mempersiapkan kompleks kebudayaan di kuil Batu Caves.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, Najib melaksanakan pelbagai program khas untuk masyarakat India.

“Maka untuk mendapatkan sokongan yang lebih besar, caranya dengan memberikan sokongan yang lebih kuat kepada kepimpinan Datuk Seri Najib.

“Jika ini dapat dilakukan, saya akan pastikan untuk membisikkan terus pada beliau agar kerajaan terus membantu dan menambah bantuan kepada masyarakat India dengan lebih banyak dan lebih besar dalam waktu terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.