Amirudin ada tugas penting ketuai misi bantuan ke Gaza, kata Anwar

Amirudin ada tugas penting ketuai misi bantuan ke Gaza, kata Anwar

Perdana menteri berkata pemilihan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari itu bagi mudahkan urusan rundingan dengan Mesir.

Amirudin Shari bernama pic 181225
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pemilihan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kerana misi bantuan ke Gaza itu memerlukan wakil daripada kerajaan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Pemilihan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengetuai misi bantuan kecemasan Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 adalah bagi memudahkan urusan perundingan dengan kerajaan Mesir sekali gus melancarkan penghantaran bantuan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pemilihan Amirudin selaku wakil kerajaan penting kerana misi ini melibatkan penghantaran bantuan berskala besar selain memerlukan beberapa perundingan dengan Mesir.

“Saya memang ambil keputusan tidak menghantar mana-mana (wakil), cuma kerana ini melibatkan (jumlah) kontena yang besar dan perundingan dengan kerajaan dan tentera Mesir, jadi saya kena minta seorang wakil yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk membantu memudahkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Madani Rakyat (PMR) 2026 Perak.

Anwar berkata bantuan dari Malaysia itu mengambil kira masalah dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat Gaza pada masa ini yang amat tinggi dan membebankan.

Semalam, Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan Amirudin akan mewakili kerajaan mengetuai misi bantuan kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang bermula esok.

Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.