Amirudin gesa henti politik ‘selective loyalty’ terhadap raja

Amirudin gesa henti politik ‘selective loyalty’ terhadap raja

Menteri besar Selangor berkata pihak terbabit dilihat membisu atas faktor politik apabila institusi diraja dihina dan dicela.

amirudin shari
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari gesa semua pihak termasuk pembangkang menghentikan amalan ‘selective loyalty’ yang konon mempertahankan raja, agama dan bangsa hanya jika ia menguntungkan kedudukan politik mereka.
PETALING JAYA:
Semua pihak termasuk pembangkang harus menghentikan amalan ‘selective loyalty’ yang konon mempertahankan raja, agama dan bangsa hanya jika menguntungkan kedudukan politik mereka, namun mengabaikan prinsip sama jika tidak memihak kepentingan sendiri.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata mereka juga dilihat membisu atas faktor politik apabila terdapat pihak luar yang menghina serta mencela kewibawaan institusi diraja Selangor.

“Malaysia dibina bukan atas kebencian kaum atau ketakutan agama, tetapi atas semangat muafakat, persefahaman antara pelbagai latar belakang dan keluhuran undang-undang yang menerima asas pembinaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang Melayu dan umat Islam terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kedudukan bangsa dan negara.

Dalam perutusan sempena Aidiladha, baginda bertitah Hari Raya itu membawa pengajaran besar mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah, sebagaimana ditunjukkan jutaan umat Islam yang berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.

Baginda bertitah, perpaduan perlu diperkukuhkan merentasi semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik dan rakyat.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyeru rakyat menghayati Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami latar belakang serta mukadimahnya kerana di situlah terkandung cita-cita besar pengasas negara untuk membentuk masyarakat bersatu padu, demokratik, adil dan progresif.

“Rukun Negara bukan sekadar lafaz di majlis rasmi, tetapi falsafah kebangsaan yang harus dihayati dalam kehidupan bernegara.

“Selain itu, semua pihak harus meneliti Perlembagaan Persekutuan secara jujur bertanggungjawab serta membaca Pengisytiharan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman supaya sejarah negara tidak diputar belit menurut kepentingan politik sempit,” katanya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai undang-undang serta Perlembagaan yang jelas dengan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara.

Katanya, Malaysia juga diasaskan sebagai sebuah demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Sebarang cubaan mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum atau mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta berbahaya kepada masa depan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.