PN pilih formula ‘rakan strategik’ elak isu Hamzah meletup, kata penganalisis

PN pilih formula ‘rakan strategik’ elak isu Hamzah meletup, kata penganalisis

Syaza Shukri berkata hubungan Bersatu dan Hamzah Zainudin masih sensitif selepas bekas timbalan presiden itu dipecat, Februari lalu.

Mesyuarat MT PN pada Sabtu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan empat parti untuk menyertaui gabungan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keputusan Perikatan Nasional (PN) mengehadkan parti luar kepada pakatan pilihan raya berbanding menerima sebagai rakan komponen dilihat jalan tengah mengelak isu Hamzah Zainudin mencetuskan ketegangan lebih besar dalam gabungan itu, kata penganalisis.

Syaza Shukri berkata, pendekatan itu boleh mengurangkan ketegangan ketika hubungan antara Bersatu dan Ahli Parlimen Larut masih sensitif susulan pemecatannya serta pengisytiharan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai musuh nombor satu.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

Menurut penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, menerusi formula pakatan pilihan raya PN masih boleh berunding dengan parti lain tanpa membuka laluan kemasukan komponen baharu.

“Kita faham mengapa ia berlaku kerana PN mahu mengekalkan kestabilan gabungan buat masa ini dan ia banyak bergantung hubungan antara PAS dan Bersatu.

“Sebagai parti penting dalam PN, Bersatu sudah tentu mempunyai veto dan tidak mahu Hamzah kembali ke PN kerana jika itu berlaku, maka tiada makna tindakan memecat beliau,” katanya kepada FMT.

Namun, beliau memberi amaran mungkin berlaku pertembungan antara kumpulan Hamzah dengan Bersatu pada PRU16 jika tiada pakatan pilihan raya dicapai.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Sabtu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Sebaliknya, Pengerusi Ahmad Samsuri Mokhtar berkata PN secara prinsip bersetuju menerima kerjasama atau ‘electoral pact’ bersama parti mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama.

BH melaporkan ketiadaan pengumuman itu susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu itu akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Hamzah dan pengikutnya, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

PN kini dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP.

Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, formula ‘rakan strategik’ mungkin menyelesaikan masalah jangka pendek PN, tetapi ia juga menutup ruang kepada parti kecil yang mahu menyertai gabungan itu secara rasmi.

Katanya, parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra mungkin berminat bersama PN, namun kini hanya berpeluang bekerjasama dalam pembahagian kerusi.

“Memang mereka nak bekerjasama, nak masuk dalam Perikatan Nasional, tetapi dengan menghadkan parti-parti tersebut hanya boleh bekerjasama dalam hal pembahagian kerusi, ia menutup parti-parti ini untuk menyokong atau menguatkan PN,” katanya.

Azmi berkata, bantahan Bersatu menunjukkan parti berkenaan bimbang tekanan bakal dibawa Hamzah dan pasukannya.

Hamzah dipecat Bersatu pada Februari lalu dan mendakwa mendapat sokongan 19 Ahli Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.