
“Minum air adalah hak asasi manusia,” katanya sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, secara maya hari ini, sambil menegaskan seorang daripada tiga individu di seluruh dunia berdepan kekurangan akses kepada air minuman yang selamat dan mencukupi.
Beliau berkata, KKM melaksanakan salah satu program kesihatan tertua di negara, Program Kebersihan Alam Sekitar Luar Bandar melalui Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekitar (Bakas) lebih 50 tahun lalu.
Bakas memainkan peranan utama dan menyumbang kepada liputan bekalan air bersih serta selamat yang hampir menyeluruh di negara ini.
Bersama pelaksanaan Program Pengawasan Kualiti Air Minuman Kebangsaan (NDWQSP), KKM berjaya membantu meningkatkan kualiti kesihatan dengan memastikan keselamatan air minuman yang disediakan kepada orang ramai berada dalam piawaian ditetapkan, sekali gus mengurangkan kejadian penyakit bawaan air atau berkaitan bekalan air awam berkualiti rendah.
“Program pengawasan memberi amaran kepada kakitangan kesihatan dan kerja air, jika kualiti air minuman merosot dan membolehkan mereka mengambil tindakan pencegahan atau pemulihan sebelum berlaku sebarang wabak atau keracunan.”
Dalam isu lain, Khairy berkata, KKM akan membentangkan akta baharu di Parlimen bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan produk tembakau, termasuk menghisap rokok elektronik pada Julai ini.
“Akan tiba satu masa apabila satu generasi tidak akan tahu apakah rokok itu,” katanya sambil menambah Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati lebih 27,200 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat rokok.