
“Kalau data penganalisis kita yang Izzah sandarkan itu memberikan gambaran bahawa pilihan raya kali ini mungkin kita belum lagi mencapai kemenangan, ‘kita kena tunggu lagi’ misalnya, kita juga percaya bahawa pakar strategi parti ada formula (untuk mencapai kemenangan),” kata Saifuddin dalam temu bual khas bersama FMT.
Beliau berkata, PKR mengatur langkah komprehensif bagi mempersiapkan parti dari pelbagai sudut dalam menghadapi PRU15.
Tonton video di sini.
Ia termasuklah langkah memperkukuhkan parti, kerjasama dengan parti lain, sambutan pengundi Melayu dan bukan Melayu serta analisis pilihan raya negeri (PRN) lalu.
“Semua itu telah dibedah siasat. Kemudian kita bangunkan satu model…pendekatan…bagaimana kita nak berkomunikasi untuk persiapkan parti ke depan. Jadi kita dah banyak melakukan bedah siasat dan berusaha melibatkan seluruh kepimpinan parti. Tidak ada siapa pun terkecuali,” kata Saifuddin.
Beliau berkata, data yang digunakan Izzah tidak diremehkan, namun lebih penting, pemimpin PKR selaku pakar strategi akan menggubal pendekatan “bagaimana kita mahu mengolahnya sehingga ia memberikan kita kelebihan”.
“Bukannya (oleh kerana) data yang menerangkan sebaliknya, lalu kita kata ‘okay, kita pasrahlah, tak ada peluang lagi kita, sebab data sebut begitu’,” katanya.
Saifuddin yang akan bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti bulan depan berkata, PKR tidak boleh meraih sokongan pengundi atas pagar jika ia akur tidak berpeluang memenangi PRU15.
“Mana ada orang atas pagar nak sokong parti yang bagi tahu bahawa dia tak boleh menang pilihan raya ini kerana ia nak jadi pembangkang yang kuat,” kata ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu.
Beliau berkata, keupayaan PKR bersama sekutu dalam PH memenangi PRU15 banyak bergantung kepada kerja yang dijalankan di lapangan.
Awal bulan ini, Izzah berkata, PH mungkin memerlukan 10 tahun atau dua pusingan PRU untuk kembali menguasai Putrajaya.
Bekas naib presiden PKR itu berkata, gabungan berkenaan juga diramal berdepan laluan sukar dan akan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.
Kenyataan ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyusul selepas PH, yang ditunjangi PKR, mengalami kekalahan teruk pada PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
Desas-desus tersebar luas bahawa PRU15 mungkin disegerakan dan dijangka memberi impak kepada persiapan PH untuk bangkit daripada siri kekalahan itu.