Laporan awal tanah runtuh Batang Kali dibentang ke Jemaah Menteri

Laporan awal tanah runtuh Batang Kali dibentang ke Jemaah Menteri

Laporan disediakan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dibentangkan semalam dan dibaca oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tragedi pada 16 Dis lalu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan tersebut. (Gambar Bernama)
CYBERJAYA:
Laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada 16 Dis lepas dibentangkan ke Jemaah Menteri semalam, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tanpa mendedahkan inti pati laporan berkenaan, beliau berkata laporan awal bencana tanah runtuh yang disediakan kementeriannya menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) itu, dibaca oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sebarang maklum balas dan tindakan seterusnya akan dilaksanakan selepas laporan penuh (tragedi itu) siap dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media sebagai mengulas status terkini laporan tragedi berkenaan.

Sebelum ini, Nik Nazmi dilaporkan berkata laporan penuh akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga akan mengambil pendekatan holistik meliputi aspek undang-undang dan struktur pembangunan agar insiden sama tidak berulang.

Tragedi pada kira-kira 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.