
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan.
“Setakat ini, tiga laporan telah diterima dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan mengarahkan laporan polis dibuat dan siasatan segera dijalankan berhubung dakwaan itu.
Baru-baru ini, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP ketika meminta wang daripada sebuah pusat urut.
Difahamkan, wang tersebut diminta sebagai balasan untuk mengelakkan tindakan terhadap premis berkenaan susulan aduan penduduk setempat.