Bekas pengarah syarikat antara 2 warga emas rugi RM2.7 juta

Bekas pengarah syarikat antara 2 warga emas rugi RM2.7 juta

Polis berkata seorang lelaki yang juga penjaga jentera rugi RM1.294 juta akibat terjerat skim pelaburan dalam talian dikenali 'Global Finance Trends XA'.

scammer
Polis berkata kes kedua membabitkan sorang bekas pengarah syarikat wanita berusia 72 tahun yang rugi RM1.403 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian menggunakan nama Shanghai Futures Exchange.
GEORGE TOWN:
Dua warga emas, termasuk seorang bekas pengarah syarikat kerugian hampir RM2.7 juta akibat diperdaya sindiket pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi platform pelaburan berasingan, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata kes pertama melibatkan lelaki 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga jentera dan mengalami kerugian RM1.294 juta selepas terjerat skim pelaburan dalam talian dikenali ‘Global Finance Trends XA’.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Seberang Perai Tengah menerima laporan daripada mangsa pada Khamis dan lelaki itu dikatakan mula tertarik dengan skim berkenaan selepas melihat iklan pelaburan di Facebook pada Mac lepas, sebelum dihubungi seorang suspek wanita menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, suspek menawarkan pelaburan didakwa berasal dari China atas nama syarikat Citic Wealth Advisors Sdn Bhd dengan menjanjikan keuntungan tinggi.

Di peringkat awal, katanya, suspek hanya memberi tips pelaburan tempatan dan ramalan keuntungan yang didapati tepat hingga menyebabkan mangsa mula yakin terhadap skim itu.

Jelasnya, mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi ‘Global Finance Trends XA’ untuk pendaftaran dan urusan pelaburan, sebelum membuat 28 transaksi pembayaran berjumlah RM1.397 juta ke akaun CIMB atas nama syarikat itu antara 6 April hingga 4 Mei lalu.

Azizee berkata, lelaki itu hanya menerima pulangan RM103,000 sebelum menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM1 juta yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang bekas pengarah syarikat wanita berusia 72 tahun turut kerugian RM1.403 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian menggunakan nama Shanghai Futures Exchange.

“Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi Facebook pada Julai 2023 sebelum hubungan diteruskan melalui aplikasi Line.

“Suspek turut menghantar gambar kad pengenalannya bagi meyakinkan mangsa bahawa dirinya benar-benar wujud, sebelum menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

“Wanita itu kemudian diminta melayari satu laman web menerusi pautan diberikan bagi tujuan pendaftaran keahlian dan urusan pelaburan.”

Antara 27 Nov tahun lepas hingga 5 Feb lalu, mangsa melakukan 53 transaksi wang berjumlah RM1.403 juta ke 30 akaun bank berbeza, termasuk 26 akaun individu dan empat akaun syarikat.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan RM30 juta yang dipaparkan dalam aplikasi, selain akaunnya disekat dan suspek pula gagal dihubungi.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.