
Aliza Sulaiman berpandangan polis, imigresen, dan kerajaan bertindak secara tidak sah dan dengan niat jahat dalam penangkapan dan penahanan Rosli pada 2023 semasa siasatan yang dikaitkan dengan i-Serve Technology & Vacation Sdn Bhd dan MYAirline.
Hakim juga berpandangan pembekuan akaun bank dan akaun amanah saham milik Rosli, serta sekatan perjalanan yang dikenakan ke atasnya, adalah tidak sah.
Aliza membenarkan permohonan Rosli, yang mahu semakan kehakiman ke atas tindakan polis, imigresen, dan kerajaan. Rosli diberikan RM50,000 untuk kos namun tuntutan ganti rugi ditolak kerana tidak secukupnya menyenaraikan kerugian yang didakwa dialami.
Hakim memutuskan bahawa tidak ada syak wasangka yang munasabah untuk mengesyaki Rosli telah melakukan sebarang kesalahan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Akta 613); dan beliau tidak dituduh dengan sebarang kesalahan jenayah sehingga kini dalam siasatan tersebut.
Mahkamah mengambil maklum bahawa laporan polis bertarikh 13 Okt dan 16 Okt 2023 tidak menamakan atau mengaitkan Rosli, dan beliau bukanlah pemegang saham, pengarah, pekerja mahupun pegawai i-Serve.
Dalam pada itu, Aliza berkata Bukit Aman mengeluarkan kenyataan pada 26 Okt 2023 yang mengesahkan tiada laporan polis dibuat oleh mangsa yang dikaitkan dengan skim pelaburan i-Serve dan MYAirline.
Bagaimanapun, Rosli ditangkap malam itu, manakala laporan berita mengenai penangkapan itu tersebar dalam masa beberapa minit. Aliza juga mendapati tiada kenyataan dirakam daripada Rosli sepanjang tempoh penahanan, dan beliau tidak dituduh dengan sebarang kesalahan jenayah sehingga kini.
Mengenai pembekuan akaun bank, mahkamah memutuskan bahawa polis gagal memenuhi syarat-syarat Akta 613 sebelum mengeluarkan perintah beku tersebut.
Aliza menambah maklumat dan dokumen dari Taiwan berkaitan Rosli hanya diperoleh selepas penahanan, perintah pembekuan, dan sekatan perjalanan dikenakan.
“Ini contoh agensi penguatkuasaan bertindak dahulu dan menyiasat kemudian,” kata hakim.
Sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Rosli dianggap tidak sah kerana ia tidak dikeluarkan sebagai sebahagian daripada perintah pembekuan, seperti yang dikehendaki undang-undang.
Dalam permohonannya, Rosli menamakan ketua polis negara, pengarah jabatan siasatan jenayah komersial Bukit Aman, pegawai penyiasat kanan, imigresen, dan kerajaan sebagai defendan.
Rosli memohon mahkamah membatalkan tindakan yang diambil terhadapnya, mendakwa wujud penyalahgunaan kuasa apabila beliau dikaitkan dengan laporan polis yang melibatkan i-Serve dan MYAirline, walaupun tiada sebarang kaitan dengan perkara-perkara tersebut.