
Peguam Shahril Nizam Mohd Amin yang mewakili Razali memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik notis rayuan difailkan pada 5 Jan lalu.
Ketika ditanya hakim berkenaan sama ada Razali sedar jika notis rayuan itu ditarik balik, sabitan terhadap beliau adalah kekal, Shahril berkata: “Benar Yang Arif, anak guam saya sedar perkara itu.”
Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah pula memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan.
Mahkamah kemudian membatalkan notis rayuan itu.
Pada 5 Jan lalu, Mahkamah Sesyen mengenakan denda itu ke atas Razali dan memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal melunaskannya.
Razali, yang juga pengerusi jawatankuasa pelancongan, kebudayaan, alam sekitar dan perubahan iklim Terengganu membayar denda berkenaan.
Pada 24 Nov 2023, bekas ketua penerangan Bersatu itu minta dibicarakan atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut apabila mendakwa keputusan satu kes mahkamah dikawal oleh kerajaan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, antara 9.30 dan hingga 11.30 malam pada 10 Nov 2023 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.