Zahid mohon bebas: Mahkamah tangguh keputusan

Zahid mohon bebas: Mahkamah tangguh keputusan

Mahkamah Tinggi menetapkan sebutan kes pada 8 Jun.

zahid hamidi
Zahid Hamidi mohon mahkamah mahkamah membebaskan beliau daripada 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram, dan pecah amanah.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusan berhubung permohonan Presiden Umno, Zahid Hamidi, yang mahu dibebaskan daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Peguam beliau, Hamidi Noh, berkata Timbalan Pendaftar Zaridah Abdul Jaapar menetapkan sebutan kes pada 8 Jun.

“Saya telah memberi taklimat kepadanya mengenai hasil keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas sebelum tarikh mahkamah seterusnya ditetapkan,” katanya kepada FMT, merujuk keputusan Mahkamah Rayuan pada awal bulan ini.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Nor sebelum ini dijadualkan untuk menyampaikan keputusan mengenai usaha Zahid mendapatkan pembebasan penuh, hari ini.

Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi, atas permohonan peguam negara (AG), melepaskan Zahid tanpa membebaskan beliau daripada 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram, dan pecah amanah.

Peguam Negara memohon perintah itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan.

Majlis Peguam kemudian memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan AG, mendakwa ia tidak rasional dan tidak munasabah.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut, pada Jun 2024.

Bagaimanapun, pada 7 Mei, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Majlis Peguam, memutuskan kes tersebut sepatutnya didengar berdasarkan merit.

Sementara itu, pada 28 Jan, Zahid memfailkan permohonan untuk mendapatkan pembebasan selepas AG mengumumkan kepada media bahawa kes tersebut dikelaskan sebagai ‘NFA’ (tiada tindakan lanjut), apabila SPRM menyimpulkan tidak terdapat bukti mencukupi untuk meneruskan perbicaraan.

AG mempunyai masa 30 hari, dikira dari 7 Mei, untuk memohon Mahkamah Persekutuan membenarkan ia merayu keputusan Mahkamah Rayuan, yang jika gagal, prosiding semakan kehakiman akan diteruskan di Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.