
Zulhilmi Halim dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata satu pasukan petugas ditubuhkan pada 2018 untuk menyiasat setiap aspek projek itu serta meneliti kenyataan saksi.
Beliau secara rasmi mengambil alih tugas sebagai pegawai penyiasat pada Jun 2020.
“Ya, (sebelum ini) terdapat satu memo dalaman bertulis tangan yang dilampirkan dalam fail projek terowong tersebut menyatakan ‘tiada kes’ terhadap tertuduh (Lim).
“Siasatan kami bukan hanya tertumpu kepada beliau,” kata Zulhilmi ketika disoal oleh peguam Haijan Omar.
Haijan sebelum itu bertanya kepada Zulhilmi mengenai nota yang didakwa terdapat dalam dokumen projek terowong dasar laut tersebut.
“Adakah anda tahu siapa yang menulis memo ini?” soal peguam itu dan pegawai berkenaan menjawab beliau tidak tahu.
“Kami memanggil semula beberapa saksi dan mengambil keterangan tambahan daripada mereka kerana keterangan terdahulu dianggap tidak mencukupi,” tambah Zulhilmi.
Apabila ditanya mengenai status fail siasatan projek terowong itu, Zulhilmi berkata ia telah disimpan di bahagian rekod SPRM dan beliau tidak lagi mempunyai akses kepadanya.
Pendengaran kes akan bersambung pada 4 dan 5 Jun di hadapan Hakim Azura Alwi.
Lim Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri ketika itu untuk meminta 10% keuntungan daripada projek terowong dasar laut, serta menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan tanah milik kerajaan bernilai RM208.7 juta.