
Beliau berkata, SPRM bawah kepimpinannya akan berpaksikan kedaulatan undang-undang, dengan memastikan setiap tindakan tidak menggugat proses keadilan.
“Berbekalkan pengalaman dalam institusi kehakiman, saya akan membawa landasan berteraskan kedaulatan undang-undang yang utuh.
“Saya berharap dapat memacu pembentukan SPRM yang lebih tegas, berwibawa serta bebas sepenuhnya, sekali gus memastikan suruhanjaya ini dapat bertindak tanpa gentar dan pilih kasih,” katanya dalam kenyataan.
Halim, 69, menggantikan Azam Baki yang kontraknya tamat semalam.
Beliau turut menegaskan keutamaannya memulihkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM yang akan dilaksanakan dengan memperhebat penguatkuasaan, meningkatkan ketelusan serta memastikan setiap siasatan dijalankan secara profesional dan adil.
“Pemulihan keyakinan masyarakat ini bukan satu pilihan, tetapi tuntutan yang tidak boleh ditangguhkan bagi memastikan SPRM kekal teguh, telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Halim berkata, SPRM juga akan memperkukuh langkah pencegahan rasuah, termasuk perlindungan terhadap pemberi maklumat dan kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan.
Dilahirkan di Kampung Alai, Melaka, beliau memiliki ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana undang-undang dari University of Hull, United Kingdom.
Beliau memulakan kerjaya sebagai peguam persekutuan di Jabatan Peguam Negara pada 1982, sebelum berkhidmat sebagai majistret di Kluang dan Muar serta penolong kanan pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka.
Antara 1990 hingga 2003, Halim berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di beberapa lokasi termasuk Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, George Town dan Ampang.
Beliau kemudian dilantik ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara pada 2003, pesuruhjaya kehakiman pada 2005, sebelum berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Shah Alam.