
R Jeyenderan berkata Bill of Lading atau bil muatan bukan sekadar dokumen pentadbiran, sebaliknya menjadi asas penting dalam urusan perbankan, insurans, kastam, pemilikan kargo dan pematuhan sekatan perdagangan.

Katanya, risiko besar timbul apabila pergerakan fizikal kargo tidak lagi sepadan dengan dokumen yang mengiringinya.
“Apabila pihak berbeza mula merujuk kepada versi sejarah kargo yang tidak sama, tahap risiko akan meningkat,” kata ketua pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu dalam kenyataan.
Jeyenderan berkata walaupun ejen perkapalan bukan pemilik kargo, mereka tetap berdepan tanggungjawab besar kerana pihak berkuasa, terminal dan rakan niaga bergantung kepada pengisytiharan yang diproses mereka.
Menurutnya, isu itu lebih rumit dalam perdagangan minyak kerana ejen sering menerima arahan berbeza daripada pedagang, penerima kargo dan penyedia logistik, yang kadangkala tidak selari dengan maklumat asal dalam bil muatan.
Beliau berkata, amalan pencampuran atau penggabungan minyak selepas dipunggah juga memerlukan dokumentasi dikemas kini supaya klasifikasi dan layanan kawal selia terhadap kargo kekal tepat.
Katanya, ketidakselarasan antara rekod kastam, bil muatan, bacaan tangki dan kedudukan sebenar kargo boleh menyebabkan industri hilang jejak pergerakan kargo.
Keadaan itu, katanya, boleh membuka ruang kepada kelemahan pematuhan, pertikaian komersial dan ketirisan hasil.