
Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan demikian atas alasan bahawa fakta sama ada Syarul Ema Rena atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga itu ditahan atau tidak masih dipertikaikan dan perlu dibicara.
Oleh itu, mahkamah memutuskan permohonan Syarul Ema Rena tidak memenuhi ambang di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah menetapkan 11 Mei untuk pengurusan kes secara e-Review bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.
Prosiding hari ini dihadiri peguam Latheefa Koya yang mewakili Syarul Ema Rena, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud mewakili peguam negara.
Pada 14 Jan lalu, Syarul Ema Rena selaku plaintif memfailkan permohonan merujuk persoalan undang-undang mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Dua persoalan undang-undang itu ialah sama ada Seksyen 28A(3), (8), dan (9) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) adalah tidak sah atau menyalahi undang-undang atau tidak menurut Perlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan kedua pula ialah sama ada sekatan terhadap akses kepada peguam atas permintaan oleh orang yang ditahan sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 28A(3), (8), dan (9) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), merupakan suatu tindak balas yang tidak seimbang terhadap objektif menjalankan siasatan polis, dan oleh itu bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Syarul Ema Rena memfailkan saman pemula pada 26 Feb 2024 dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, SPRM, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam saman itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa beliau mempunyai hak di sisi undang-undang menurut Perkara 5 Perlembagaan (kebebasan diri) untuk diwakili oleh peguam apabila diperiksa secara lisan, dan disoal mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga memohon perisytiharan, bahawa penafian haknya untuk diwakili peguam menyalahi undang-undang dan tidak menurut Perlembagaan kerana melanggar Perkara 5 dan Perkara 8 (kedudukan sama rata di sisi undang-undang).