Remaja mengaku tak salah sebabkan kematian penunggang basikal

Remaja mengaku tak salah sebabkan kematian penunggang basikal

Tertuduh didakwa memandu secara berbahaya dan melanggar penunggang basikal sehingga menyebabkan kematian Jumaat lalu.

Elijah Jeremiah Yeo Shi
Elijah Jeremiah Yeo Shi Xian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang basikal, 1 Mei lalu.

Elijah Jeremiah Yeo Shi Xian, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya dan melanggar seorang penunggang basikal sehingga menyebabkan kematian di Jalan Stutong, pada 5.30 pagi, Jumaat lalu.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda maksimum RM50,000 selain hilang kelayakan mendapat lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan lesen dibatalkan sekiranya memegang lesen memandu percubaan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 23 Jun ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji, manakala tertuduh diwakili peguam Daniel Ling.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.