Bekas suami Jahidah kena penjara maksimum 14 tahun

Bekas suami Jahidah kena penjara maksimum 14 tahun

Kini bekas isteri Jahidah Nordin terlantar koma akibat dipukul di kepala, muka, dan tangan serta belakang badan dihentak dengan kaki.

Rosmaini Abdul Raof, 43, turut diperintah Mahkamah Rayuan membayar pampasan kepada Jahidah Nordin sebanyak RM25,000 menerusi ahli keluarga atau berdepan tambahan enam bulan penjara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas suami yang menyebabkan cedera parah ke atas Jahidah Nordin sehingga koma dihukum penjara maksimum 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Azman Abdullah, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun sebelum ini dikenakan terhadap Rosmaini Abdul Raof, 43.

Menurut Kosmo, mahkamah juga turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan kepada Jahidah sebanyak RM25,000 menerusi ahli keluarga dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar pampasan itu.

Susulan keputusan itu, Rosmaini gagal dalam rayuannya mengetepikan sabitan dan hukuman dikenakan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Noorin Badaruddin dan Mohd Radzi Abdul Hamid.

Pada 4 Nov 2025, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Dis 2024 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir diputuskan.

Rosmaini sempat dipenjarakan 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen.

Namun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri Jahidah, 48, dengan memukul kepala, muka, dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A memperuntukkan penjara sehingga 7 tahun dan denda, serta hukuman dua kali ganda tempoh maksimum seksyen kesalahan asas bagi kesalahan terhadap pasangan.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Wanita itu dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 Nov 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Sementara itu, pada 15 Mac 2024, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Febr 2023.

Pada 27 April lalu, polis mengesahkan suspek yang disyaki memukul isterinya sehingga keguguran di Ambangan Heights, Sungai Petani, Kedah adalah lelaki sama terkait kes pukul Jahidah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.