
Ketua Polis Kota Bharu Mohd Azmir Damiri, berkata bapa kepada suspek itu adalah pesara di sebuah agensi kerajaan lain.
“Apa yang tular mengatakan pesara pegawai polis selain ada yang maklum mempunyai ‘kabel besar’ adalah tidak benar sama sekali.
“Kita menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes ini dan berharap pihak luar tidak sesuka hati memuat naik maklumat yang tidak betul.
“Pada masa sama saya meminta orang ramai tidak mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan. Apa yang pasti siasatan menyeluruh sedang dijalankan, tidak wujud soal ‘kabel besar’ atau sebaliknya,” katanya kepada Berita Harian.
Sejak semalam, tular di media sosial mendakwa bapa kepada seorang daripada remaja lelaki yang ditahan adalah pesara pegawai polis.
Pada masa sama, ada yang mengaitkan suspek mempunyai ‘kabel’ atau pengaruh besar.
Dalam kejadian tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh, pada 12.30 tengah malam dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.