Suami isteri maut, motosikal dilanggar pemandu dipercayai mabuk

Suami isteri maut, motosikal dilanggar pemandu dipercayai mabuk

Pasangan suami isteri berusia 61 dan 56 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Keadaan kereta Toyota Vios yang remuk selepas merempuh sebuah motosikal dinaiki pasangan suami isteri di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern, pagi semalam. (PDRM pic)
PETALING JAYA:
Suami isteri maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang disyaki berada bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern, kira-kira 5.34 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang motosikal dinaiki pasangan berkenaan.

Katanya, akibat kemalangan itu penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 61 tahun dan isterinya yang berusia 56 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Zamzuri berkata pemandu kereta itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan sehingga hari ini masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.

“Penumpang hadapan kereta iaitu lelaki berumur 23 tahun turut mengalami kecederaan di kepala dan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.

“Seorang lagi lelaki berusia 24 tahun yang juga penumpang belakang kereta mengalami kecederaan luka di bibir dan lidah, telah dibenarkan pulang semalam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hubungan pemandu dan penumpang kereta tersebut adalah rakan.

“Kami juga mengesyaki pemandu itu berada dalam keadaan mabuk dan polis sudah ambil sampel darah serta air kencing untuk ujian lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga meminta orang ramai atau saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.