
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata beberapa tangkapan pencegahan turut dibuat sepanjang operasi keselamatan dijalankan, namun tiada kes jenayah serius dilaporkan.
Menurutnya, hanya seorang wanita yang ditahan kerana dikesan memiliki pisau.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk proses reman dan lain-lain keadaan semua dalam keadaan terkawal dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menggerakkan seramai 500 pegawai dan anggota setiap malam sepanjang tiga hari festival itu berlangsung.
“Ini membabitkan kombinasi daripada enam daerah di Kuala Lumpur termasuk bantuan daripada Bukit Aman,” katanya.
Rain Rave Water Music Festival dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame, sebuah syarikat inovasi jenama, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bagaimanapun ia menerima bantahan daripada pelbagai pihak, dengan Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkata ia tidak mencerminkan identiti Malaysia, manakala Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempersoalkan mengapa ia tidak dibatalkan di bawah langkah penjimatan kerajaan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Hanifuddin Rosan berkata festival itu mungkin membawa kepada kemudaratan moral dan menjejaskan nilai masyarakat, sambil menegaskan bahawa hiburan tidak dilarang dalam Islam tetapi mesti mematuhi garis panduan syarak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang mempertahankan acara itu, berkata penyertaan adalah secara sukarela dan menasihatkan mereka yang merasakan ia tidak sesuai supaya tidak mengambil bahagian.