
Ketua Polis Kampar, Nazri Daud berkata, dalam kemalangan kira-kira 10.35 malam itu, mangsa Jayden Leong Zhi Yung, 10, yang duduk di tempat penumpang hadapan Perodua Bezza, disahkan maut akibat kecederaan parah.
Katanya, seorang lagi penumpang berusia 13 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki, manakala pemandu kereta tersebut cedera ringan.
Nazri berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Ipoh ke Kampar hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Menurutnya, Toyota Hilux itu kemudiannya melanggar kereta Perodua Bezza dinaiki mangsa dan sebuah lagi Perodua Myvi di laluan bertentangan.
“Pelanggaran itu menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut di tempat kejadian, manakala dua yang lain cedera,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.
Katanya, pemandu Toyota Hilux dan pemandu Perodua Myvi berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu Toyota Hilux itu ditahan bagi siasatan lanjut dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif ganja,” katanya yang menambah kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.