11 individu diambil keterangan kes komando parah

11 individu diambil keterangan kes komando parah

Polis berkata dua suspek berusia 24 tahun dari kem sama yang ditahan 14 Mac lalu dibebaskan dengan jaminan selepas direman empat hari.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata mereka terdiri daripada doktor yang merawat mangsa, ahli keluarga, pegawai atasan dan rakan sekerja mangsa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sudah mengambil keterangan 11 individu dalam kes komando tentera parah di Kem Iskandar, Mersing, Mac lalu.

“Seramai 11 saksi telah direkodkan (keterangan) terdiri daripada ahli keluarga mangsa, pegawai atasan, doktor yang merawat mangsa dan rakan sekerja mangsa,” kata Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad menurut Harian Metro.

Beliau berkata, dua suspek berusia 24 tahun dari kem sama yang ditahan 14 Mac lalu dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman empat hari.

“Kedua-dua suspek diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas dijamin polis.”

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hamid Talib, 25, yang bertugas di Rejimen 22 Komando Kem Iskandar cedera parah, termasuk retak tengkorak ketika berada dalam kem pada 12 Mac lalu.

Mangsa berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah kini tidak mampu bercakap dan perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan, selain menerima nutrisi melalui tiub akibat kecederaan serius di kepala.

Dua anggota tentera ditahan pada hari sama laporan diterima siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Polis turut merampas sebatang rotan sepanjang 72cm yang disyaki senjata digunakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.