
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata siasatan mendapati suspek berusia 43 tahun itu telah berkahwin sebanyak sembilan kali dan semua isteri serta bekas isteri bekerja sebagai penjawat awam.
“Suspek difahamkan masih mempunyai tiga isteri dan pernah berkahwin sebanyak sembilan kali. Suspek mencari pasangan yang mempunyai kerja tetap kerana dia tidak mempunyai kerja yang stabil.
“Apa yang boleh kami katakan, suspek ini seorang yang panas baran kerana mempunyai empat rekod jenayah lampau yang melibatkan Seksyen 325, Seksyen 323, Seksyen 318 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di IPK Kedah.
Polis berjaya menahan suspek di sebuah inap desa di sekitar bandar raya berkenaan semalam, susulan laporan yang dibuat oleh abang mangsa pada 23 April dan mangsa sendiri pada 26 April.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian keganasan rumah tangga sehingga mendatangkan kecederaan parah melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun yang dipukul oleh suaminya di Ambangan Heights di Sungai Petani.
“Pada awalnya, kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan tetapi ia telah ditukar kepada Seksyen 326 kanun sama selepas mendapati mangsa dipukul menggunakan beberapa objek, antaranya batang besi dan penyangkut baju plastik sehingga menyebabkan mangsa lebam di seluruh badan, patah rusuk bahagian kiri, kanan dan tulang belakang serta keguguran,” katanya.
Suspek yang mempunyai 11 anak ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Mei depan bagi siasatan lanjut.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita cedera dipercayai dipukul suaminya sehingga kandungannya gugur dan mengalami kecederaan pada tangan, lebam pada muka.
Suspek juga didakwa melarikan barang kemas dan wang simpanan mangsa berjumlah hampir RM50,000.
Polis mengesahkan suspek adalah lelaki yang sama terlibat dengan kes pukul isteri, iaitu Jahidah Nordin sehingga koma di Larkin, Johor pada 2021.