
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata suspek yang berusia 43 tahun akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani esok untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
“Satu sidang media berkaitan penahanan suspek akan dibuat esok di IPK Kedah,” katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial seorang penjawat awam berusia 39 tahun cedera dipercayai dipukul suaminya sehingga kandungannya gugur selain turut mengalami kecederaan pada tangan, patah jari kiri dan lebam pada muka.
Lelaki itu juga didakwa melarikan barang kemas dan wang simpanan isterinya di bank berjumlah hampir RM50,000.
Suspek dikatakan lelaki sama yang dicari polis Johor sebelum ini bagi membantu siasatan kes Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana memukul isterinya Jahidah Nordin sehingga koma pada 2021.
Jahidah yang sebelum ini juga bekerja sebagai penjawat awam kini dilaporkan hanya terbaring kaku dan bergantung pada susu yang diberi melalui tiub.