Jalan sesak waktu solat Jumaat punca lelaki buat petisyen bantah azan, kata polis

Jalan sesak waktu solat Jumaat punca lelaki buat petisyen bantah azan, kata polis

Polis berkata suspek dipercayai bertindak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Shazeli Kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata, suspek yang masih dalam tahanan reman itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tidak puas hati jalan sesak akibat solat Jumaat menjadi punca utama seorang lelaki membuat petisyen bagi membantah azan di sebuah surau di Ampang, menurut polis.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati tindakan lelaki berusia 46 tahun itu bersifat individu dan tanpa pengaruh mana-mana pihak, lapor Kosmo.

Katanya, lelaki itu yang tidak bekerja dan bermastautin di Taman Suraya, Ampang sejak beberapa tahun lalu.

“Polis masih terus menjalankan soal siasat sekiranya wujud elemen-elemen lain. Ini kerana kita menjalankan siasatan pelbagai aspek dan sudut,” katanya.

Menurutnya, suspek yang masih dalam tahanan reman itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suspek ditahan di kawasan Pandan Indah pada Ahad lalu kerana ingkar titah Sultan Selangor berhubung pelaksanaan solat Jumaat dan azan di sebuah surau di Ampang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.