
Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman berkata bertindak atas maklumat, polis dengan kerjasama tentera daripada Rejimen ke-10 Askar Melayu Diraja Kem Majidee menyerbu sebuah rumah di sekitar kawasan Sungai Rengit, antara 11.45 malam Ahad hingga 4 pagi semalam.
“Kita membuat pemerhatian selama beberapa minit dan berjaya menahan 10 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki baru tiba dari negara mereka,” katanya dalam kenyataan.
Yusof berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati semua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Beliau berkata susulan tangkapan terbabit, pihaknya berjaya menahan dua lagi lelaki warga Indonesia di ladang Felda Air Tawar dan seorang lelaki tempatan yang disyaki turut terlibat dalam kegiatan berkenaan di Felda Air Tawar.
“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut. Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyeludupan migran diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau melalui hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 bagi membantu siasatan.