
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan kesalahan dengan sengaja mengaibkan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Kita menerima satu laporan berhubung satu rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang individu lelaki mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis semasa menjalankan penugasan sekatan jalan raya.
“Siasatan awal mendapati, individu berkenaan turut mendakwa dia berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas,” katanya kepada Kosmo.
Yusoff berkata, kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh menjejaskan imej, reputasi, dan kredibiliti polis.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dilapor berkata, tindakan beberapa Adun Kelantan menganjurkan konvoi ‘Mat Motor ke LTSIP’ merupakan perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, kawasan lapangan terbang merupakan kawasan strategik dan keselamatan perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang lancar dan tidak terganggu.
Sejak semalam, tular di media sosial mengenai penganjuran program ‘Konvoi & Lepak Mat Motor Bersama YB’ yang didakwa dianjurkan oleh Kelab Penyokong Kerajaan dan Dewan Pemuda PAS Kelantan, bermula 5 hingga 7 petang, semalam.
Konvoi berkenaan difahamkan bermula di Masjid Muhammadi selepas solat asar sebelum melalui beberapa laluan sekitar bandar termasuk kawasan DUN Kota Lama dan berakhir di Lembah Sireh.