‘Keno bbodo’ bukan perlekeh tugas polis, kata Adun Melor

‘Keno bbodo’ bukan perlekeh tugas polis, kata Adun Melor

Wan Rohimi Wan Daud dakwa dirinya cuba disabotaj kerana rakaman tular video ucapan diambil dari jarak jauh dan bukan dirakam peserta konvoi.

Wan Rohimi Wan Daud menjelaskan, ungkapan ‘keno bbodo’ merujuk ‘tipu muslihat’ apabila peserta konvoi berjaya lalu beberapa laluan sehingga dapat keluar di depan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), dalam konvoi ‘Mat Motor ke LTSIP’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ungkapan ‘keno bbodo’ dikeluarkan Adun Melor Wan Rohimi Wan Daud ketika berucap selepas berkonvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kelmarin tidak bermaksud memperlekeh tugas polis.

Beliau mendakwa, dirinya cuba disabotaj kerana rakaman tular video ucapannya juga diambil dari jarak jauh dan bukan dirakam peserta konvoi.

Wan Rohimi menjelaskan, ‘keno bbodo’ itu merujuk ‘tipu muslihat’ apabila peserta konvoi berjaya melalui beberapa laluan sehingga dapat keluar di depan LTSIP.

“Ada yang sabotaj dengan mengeluarkannya (video) di dalam sebuah halaman di media sosial untuk melaga-lagakan saya dengan polis.

“Semasa memberi keterangan, saya juga menjelaskan penggunaan perkataan ‘keno bbodo’ itu bukan maksud memperlekehkan pihak polis. Ia hanya tipu muslihat dan peserta konvoi berjaya melalui beberapa laluan sehingga keluar di depan LTSIP,” katanya menurut Kosmo

Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan selama satu jam 45 minit, di IPD Kota Bharu.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, berkata polis menerima satu laporan berhubung satu rakaman video memaparkan satu individu lelaki mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis semasa menjalankan penugasan sekatan jalan raya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan kesalahan dengan sengaja mengaibkan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Sekatan jalan raya itu dibuat susulan tindakan beberapa Adun Kelantan menganjurkan konvoi ‘Mat Motor ke LTSIP’, di mana laluan sekitar lapangan terbang merupakan kawasan strategik dan keselamatan yang perlu dipelihara sepanjang masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.