Lelaki ingkar titah, isu azan diberkas

Lelaki ingkar titah, isu azan diberkas

Suspek yang disenarai dalam pekeliling khas bagi mengelak lolos ke luar negara ditangkap di Pandan Indah petang tadi.

Shazeli Kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan mencetuskan provokasi melampau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki tersenarai dalam pekeliling khas kerana terkait kes ingkar perintah Sultan Selangor mengenai solat Jumaat di Taman Seraya, Ampang, diberkas.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata warga tempatan berusia 46 tahun itu ditahan di kawasan Pandan Indah, pada 3 petang tadi.

“Dalam operasi tersebut, turut dirampas sebuah komputer riba, telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing negatif,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Shazeli menegaskan, polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.

Awal hari ini, beliau memaklumkan lelaki itu disenarai dalam pekeliling khas bagi menghalangnya lolos ke luar negara.

Beliau berkata, langkah strategik itu diambil susulan laporan diterima daripada penduduk dan ahli jawatankuasa (AJK) surau kawasan terbabit berhubung satu petisyen dibangkitkan di sebuah taman perumahan tersebut.

Pada Jumaat lalu, jawatankuasa sebuah surau di Ampang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah susulan dakwaan terdapat pihak membuat bantahan terhadap pengurusan rumah ibadat itu membabitkan azan, solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau.

Antara perkara menimbulkan ketegangan termasuk dakwaan laungan azan mengganggu mereka, selain meminta solat berjemaah dihentikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.