Rasuah di pelabuhan: 2 pengarah syarikat diberkas, SPRM beku RM185 juta

Rasuah di pelabuhan: 2 pengarah syarikat diberkas, SPRM beku RM185 juta

Mereka antara empat suspek terlibat pengubahan wang haram bagi elak dan kurangkan duti import yang dipercayai mengakibatkan kehilangan hasil RM1.5 bilion sejak 2022.

MACC-SPRM LOGO
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua pengarah syarikat dan seorang akauntan antara empat suspek diberkas kerana disyaki memalsukan pengisytiharan barang import dan merasuah pegawai penguat kuasa di Pelabuhan Klang, sejak 2022.

Berita Harian memetik sumber sebagai berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat berjumlah hampir RM185 juta.

Katanya, anggaran kerugian ditanggung negara hasil penipuan duti kastam ini mencecah RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Suspek masing-masing dua lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan antara 8 dan 9 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya.

“Semua suspek dipercayai bersubahat memberi suapan kepada pegawai penguat kuasa di Pelabuhan Klang bagi tujuan pelepasan barang import yang tidak diisytihar,” menurut laporan itu.

Sumber berkata, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Agensi-agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) menjalankan serbuan dan pemeriksaan di 26 lokasi menerusi Op Celio.

“Operasi ini menyasarkan pengimport, ejen penghantaran, dan orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia.

“Ia bagi mengelak dan mengurangkan duti import. Siasatan dilakukan BOK ini turut mempercayai sindiket itu memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram itu, selain terbabit pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.”

Pengarah Kanan BOK SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan tangkapan itu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Semua suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 30 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.