
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata pengisytiharan sahaja tidak memadai jika tidak disokong mekanisme kawalan lebih ketat.

“Dalam konteks risiko tinggi seperti SPRM, perlu dipertimbangkan larangan jelas terhadap pegangan jawatan utama seperti pengerusi atau bendahari dalam NGO tertentu.
“Ini terutama bagi NGO yang terlibat kutipan dana awam atau mempunyai kepentingan berkait siasatan,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Jais berkata isu paling kritikal adalah aspek pemantauan supaya proses itu tidak sekadar menjadi ‘latihan pematuhan’ semata-mata.
Justeru, beliau mencadangkan pengisytiharan disertakan audit berkala, semakan bebas, serta kewujudan pangkalan data dalaman yang telus untuk akses unit integriti.
“Tindakan disiplin tegas mesti diambil jika berlaku kegagalan mengisytihar atau penyembunyian maklumat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, berkata pelaksanaan polisi tersebut perlu dilakukan secara seimbang bagi memastikan hak perlembagaan individu dan kebebasan sivil untuk berpersatuan terus terpelihara.
Katanya, sebarang bentuk deklarasi harus berasaskan penilaian risiko terutama jika NGO tersebut terlibat dalam advokasi polisi atau menguruskan dana awam.
“Ia tidak seharusnya menjadi satu deklarasi menyeluruh semata-mata, sebaliknya perlu melihat kepada tahap risiko dan limitasi peranan yang boleh dilakukan oleh pegawai tersebut,” katanya.
Nurhayati turut mengingatkan, regulasi itu tidak sekadar menjadi langkah kosmetik atau formaliti ‘atas kertas’ tanpa tindakan susulan berkesan termasuk keperluan untuk pegawai menarik diri daripada sesuatu kes jika perlu.
“Penting untuk kita audit dan praktikkan pemantauan supaya ada tindakan susulan selepas deklarasi dibuat demi mengimbangi kebebasan berpersatuan dan integriti penjawat awam,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata suruhanjaya itu mewajibkan warga kerjanya mengisytiharkan penglibatan dalam NGO bagi mengelakkan konflik kepentingan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan reputasi dan kredibiliti SPRM sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi melibatkan kes penyelewengan yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.