
Perintah reman terhadap suspek lelaki itu dikeluarkan Majistret Ellyna Mahussin selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 2 petang semalam di kediamannya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2020 hingga 2023 ketika bertugas di satu daripada daerah di negeri ini.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan daripada dua pemilik pusat hiburan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.