
Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Ruwena Nurdin, menolak permohonan itu atas alasan ia tidak memenuhi syarat ditetapkan bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Peruntukan itu hanya membenarkan kes jenayah dipindah dari mahkamah rendah ke Mahkamah Tinggi atas alasan terhad, termasuk isu perundangan kompleks atau kepentingan keadilan menuntut pemindahan berkenaan.
“Memandangkan undang-undang mengenai isu ini jelas, saya tidak melihat sebarang alasan untuk menyimpang daripada duluan kehakiman ditetapkan, dengan sebahagiannya bersifat mengikat. Oleh itu, permohonan ini ditolak.”
Dalam permohonan difailkan Februari lalu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul berhujah, ada persoalan undang-undang baharu serta isu kompleks wajar ditentukan Mahkamah Tinggi dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.
Shamsul, 51, dalam afidavit sokongan berkata, perbicaraannya akan membabitkan isu berkaitan kuasa dan prosedur yang mengawal kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Menurutnya, kes itu akan membabitkan ramai saksi, bukti dokumentari luas dan prosedur undang-undang kompleks, menjadikan kepakaran hakim Mahkamah Tinggi penting bagi memastikan kelancaran prosiding serta menjimatkan masa dan kos.
Pada 4 Dis lalu, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menerima RM100,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Dia juga didakwa menerima wang tunai RM40,000 daripada Tei untuk tujuan sama, selain perabot dan barangan elektrik masing-masing bernilai RM14,580 dan RM22,249.
Keesokannya, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima bayaran sewa sebanyak RM64,924 daripada Tei, sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan sama.
Kes di Shah Alam kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama pertuduhan terdahulu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Amer mewakili Shamsul.