
Berita Harian melaporkan Mohd Firdaus Kamal, 39, memohon kesnya dibicarakan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Inspektor polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Utara itu didakwa menerima suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki 55 tahun sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di depan bekas pejabat kuarantin tumbuhan di Jalan Bagan Luar, Butterworth dalam daerah Seberang Perai Utara kira-kira 3.45 petang 22 Ogos 2024.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meminta suapan wang tunai RM6,500 daripada individu sama bagi tujuan sama di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Utara kira-kira 5.30 petang 21 Ogos 2024.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Khas Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 16(a) (B) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkiflee memohon jaminan RM10,000 bagi dua pertuduhan itu, selain syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.
Tetapi, peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya menyara isteri tidak bekerja, dua anak berusia lapan dan 12 tahun yang masih bersekolah serta ibu bapa yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan semua syarat tambahan ditetapkan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Jun ini.