
Sumber berkata lima individu terbabit melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah.
Katanya, mereka disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import.
Menurut sumber, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menjalankan satu operasi bersepadu menerusi Ops Celio sejak Selasa lepas, dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF).
Agensi terlibat adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri, kastam dan Bank Negara.
“Setakat ini SPRM telah menggeledah 26 lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang.
“Hari ini Ops Celio diteruskan lagi di Pulau Pinang dan Kelantan dengan menyasarkan dua lagi premis consignee (penerima konsain),” kata sumber itu.
Sumber memaklumkan siasatan turut mengenal pasti beberapa pegawai penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah melepaskan kontena yang bermasalah.
“SPRM akan merakam keterangan individu daripada penerima konsain dan ejen penghantaran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi berkata ketika ini sebanyak 133 akaun individu syarikat telah dibekukan berjumlah kira-kira RM185 juta.
Semalam, media melaporkan SPRM mereman seorang pemilik syarikat disyaki terlibat dalam sindiket pengisytiharan palsu barang import kepada kastam di Pelabuhan Klang.
Menurut sumber, kegiatan berkenaan menyebabkan kerajaan kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.