Kes seleweng dana NGO: Aset tak alih RM18.36 juta disita

Kes seleweng dana NGO: Aset tak alih RM18.36 juta disita

Sitaan merangkumi tujuh rumah kediaman, tiga ruang pejabat, serta empat lot tanah.

MACC-SPRM LOGO
SPRM sita 14 hartanah bagi membantu siasatan berkait dakwaan penyelewengan dana. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset tak alih dianggarkan bernilai RM18.36 juta melibatkan 14 hartanah, susulan siasatan kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sitaan itu merangkumi tujuh rumah kediaman bernilai RM15.53 juta termasuk sebuah banglo bernilai RM10 juta, tiga ruang pejabat bernilai RM1.53 juta serta empat lot tanah bernilai RM1.3 juta di Kundang, Marang dan Temasya Glenmarie.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM18.36 juta berdasarkan nilai pasaran semasa,” menurut SPRM di TikTok.

Difahamkan sitaan berkenaan dilaksanakan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan dakwaan penyelewengan dana NGO terbabit.

Semalam, SPRM mengesahkan kes berkenaan melibatkan penyelewengan kira-kira RM230 juta daripada sumbangan orang awam dan bukan dana zakat.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata siasatan mendapati NGO itu menerima dana daripada pelbagai sumber, termasuk komisen daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO, direman empat hari hingga 25 April, selepas ditahan pada Selasa lepas bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.