
Jawatankuasa pusatnya mengumumkan sayap itu menyokong tuntutan iaitu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat dakwaan melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan dan aktiviti-aktiviti apa yang digelar sebagai ‘mafia korporat’.
Pemuda MCA turut menyokong siasatan menyeluruh ke atas dakwaan berkait pemilikan saham yang dilemparkan terhadap Azam, serta reformasi institusi dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kebimbangan awam hari ini melangkaui kes-kes individu kepada persoalan lebih besar tentang sama ada institusi-institusi telus, adil, dan bebas,” menurut kenyataan.
“Sudah tiba masanya kerajaan, melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, merangka suatu kerangka reformasi yang menyeluruh bagi SPRM.”
Jawatankuasa itu menambah tuntutan-tuntutan utama perhimpunan itu konsisten dengan pendirian Pemuda MCA.
Kontrak Azam dijadualkan tamat pada 12 Mei. Tempoh perkhidmatan beliau dilanjutkan sebanyak tiga kali sejak dia memegang jawatan pada Mac 2020, dengan pelanjutan setahun diberikan pada Mei 2023, Mei 2024, dan Mei 2025.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan pelajar itu bakal disertai oleh Ahli Parlimen Rafizi Ramli dan Wong Chen dari PKR, serta bekas naib presiden parti itu, Tian Chua.
Terdahulu, Pemuda DAP mengumumkan ia akan menyertai perhimpunan sama.