Pemuda DAP akan sertai himpunan anti-Azam Baki pada Sabtu

Pemuda DAP akan sertai himpunan anti-Azam Baki pada Sabtu

Ketua Pemuda Woo Kah Leong kata kontroversi yang dikaitkan dengan SPRM tidak boleh diabaikan walaupun tempoh perkhidmatan Azam Baki hampir berkahir.

Woo Kah Leong
Ketua Pemuda Woo Kah Leong kata sayap DAP itu bersama rakyat dalam menuntut kebertanggungjawaban dan reformasi secara aman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda DAP membuat keputusan untuk menyertai perhimpunan anti-Azam Baki yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Ketua Pemuda Woo Kah Leong mengumumkan sayap itu menyokong tuntutan iaitu menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan kewujudan apa yang digelar sebagai ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemuda DAP turut menyokong tuntutan agar siasatan holistik dilakukan ke atas dakwaan pemilikan saham yang dilemparkan terhadap Azam, serta desakan agar SPRM diperkasakan melalui reformasi tuntas.

“Siri dakwaan yang dihadapi SPRM bukan sekadar persoalan sama ada individu tertentu menerima manfaat yang tidak sepatutnya, tetapi melibatkan kredibiliti dan ketelusan sistem pencegahan rasuah negara.

“Walaupun tempoh perkhidmatan Azam hampir berakhir dan kerajaan dijangka melantik ketua SPRM baharu, ini tidak bermakna kontroversi tersebut harus diabaikan.

“Sebaliknya, pihak berkuasa mesti menjalankan siasatan menyeluruh, bebas, dan telus ke atas semua dakwaan bagi mendedahkan kebenaran serta memupuk semula keyakinan orang ramai,” menurut kenyataan.

Woo menambah Pemuda DAP bersama rakyat dalam menuntut kebertanggungjawaban dan reformasi secara aman.

Kontrak Azam dijadualkan tamat pada 12 Mei. Tempoh perkhidmatan beliau dilanjutkan sebanyak tiga kali sejak dia memegang jawatan pada Mac 2020, dengan pelanjutan setahun diberikan pada Mei 2023, Mei 2024, dan Mei 2025.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan pelajar itu bakal disertai oleh Ahli Parlimen Rafizi Ramli dan Wong Chen dari PKR, serta bekas naib presiden parti itu, Tian Chua.

Woo turut membidas Perikatan Nasional (PN) kerana dilihat tidak mengambil pendirian berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan SPRM, menuduh gabungan itu mengabaikan tanggungjawab untuk berfungsi sebagai pembangkang yang berkesan dan bertanggungjawab.

“Ini hanya membuktikan bahawa PN sememangnya pembangkang yang paling teruk dan paling tidak berkesan dalam sejarah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.