Pemilik syarikat direman disyaki terlibat sindiket isytihar palsu barang import

Pemilik syarikat direman disyaki terlibat sindiket isytihar palsu barang import

Suspek disyaki jadi 'runner' bagi individu, syarikat dan ejen penghantaran yang urus kemasukan barang-barang import di Pelabuhan Klang.

sprm
Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan suspek direman selama lima hari sehingga 26 April untuk membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pemilik syarikat kerana disyaki terlibat dalam sindiket isytihar palsu barang import kepada Jabatan Kastam di Pelabuhan Klang.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 April terhadap suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira 5 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menjadi ‘runner’ bagi individu, syarikat dan juga ejen penghantaran yang menguruskan kemasukan barang-barang import di Pelabuhan Klang.

“Suspek juga dipercayai salah seorang ahli sindiket terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan kontraban daripada pelbagai negara pengeksport dengan menggunakan modus operandi ‘Trade Based Money Laundering’,” katanya.

Menurutnya, operasi itu dijalankan dengan kerjasama SPRM dan Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Bank Negara Malaysi.

Katanya, operasi dikenali sebagai Op Celio itu menyerbu dan menggeledah 14 lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, operasi tersebut menyasarkan 28 entiti yang terdiri daripada syarikat dan individu melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak Kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import.

“Siasatan yang dilakukan BOK ini turut mempercayai sindiket itu memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram tersebut selain terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.

“Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat yang berjumlah kira-kira RM160 juta,” katanya.

Menurutnya, aktiviti tersebut turut menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan operasi tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tambah beliau, Op Celio akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan lagi 14 premis melibatkan kediaman serta syarikat dan juga ejen penghantaran sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.