Kes seleweng RM230 juta tak libat institusi zakat, kata SPRM

Kes seleweng RM230 juta tak libat institusi zakat, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata siasatan mendapati penyelewengan dikesan berlaku dalam NGO.

Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata NGO terbabit menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
PETALING JAYA:
Siasatan kes penyelewengan RM230 juta dikaitkan dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) setakat ini tidak membabitkan sumber dana daripada institusi zakat dalam negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkata siasatan mendapati penyelewengan dikesan berlaku dalam NGO itu.

Katanya, NGO terbabit menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperoleh daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Bagaimanapun, dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya. Sebaliknya, ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, SPRM kini memperluas skop siasatan dan komited terus memastikan ketelusan serta kebertanggungnjawaban dalam setiap proses semakan selaras prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

Terdahulu, media melaporkan dua lelaki termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO direman empat hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berumur 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis untuk siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Memetik sumber, media semalam melaporkan siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.

Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO itu memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.