Kes seleweng zakat RM230 juta, timbalan pengerusi NGO antara 2 direman 4 hari

Kes seleweng zakat RM230 juta, timbalan pengerusi NGO antara 2 direman 4 hari

Semalam, SPRM Selangor menahan tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO kerana disyaki seleweng dana zakat kira-kira RM230 juta.

Pegawai SPRM mengiringi dua lelaki berpakaian lokap agensi antirasuah itu ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Dua lelaki, termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) direman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes menyeleweng dana zakat kira-kira RM230 juta.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berumur 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

Terdahulu, dua lelaki itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada 9.07 pagi dengan menaiki van SPRM.

Semalam, SPRM Selangor menahan tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat kira-kira RM230 juta.

Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an itu ditahan di sekitar Lembah Klang petang semalam, manakala seorang lagi yang berusia 50-an ditahan pada 2 petang, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.