
Dalam satu kenyataan, SKMM berkata individu tersebut telah diambil keterangannya bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Suruhanjaya itu turut memaklumkan bahawa satu peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut telah dirampas.
Ia berkata pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan media sosial dan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” tambahnya.
Ia juga menasihatkan orang ramai supaya bertindak secara bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dan platform digital, serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial dan ketenteraman awam.