Agong akan tentukan pengganti Azam Baki ketuai SPRM

Agong akan tentukan pengganti Azam Baki ketuai SPRM

Sultan Ibrahim tegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM.

Sultan Ibrahim menegaskan pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan institusi berkenaan dalam memastikan usaha membanteras rasuah terus berkesan. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah baginda akan menentukan calon terbaik untuk dilantik ketua pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Baginda bertitah pelantikan itu akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan institusi berkenaan dalam memastikan usaha membanteras rasuah terus berkesan.

Baginda turut menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara itu.

“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini.

“Jawatan ini amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan beberapa pihak lain telah menggesa kerajaan supaya tidak melanjutkan kontrak Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM susulan dakwaan terhadapnya dalam laporan Bloomberg pada Februari.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan juga mendedahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepadanya bahawa kontrak Azam tidak akan disambung.

Kontrak Azam telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sejak beliau memegang jawatan pada Mac 2020, dengan lanjutan setahun diberikan pada Mei 2023, Mei 2024 dan Mei 2025.

Kontrak semasanya akan tamat pada 12 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.