
Beliau berkata festival bermula Khamis hingga hari ini dianjurkan secara teratur, menarik kehadiran ramai pengunjung, selain memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan, pekerja dan perniagaan di ibu negara.
Namun katanya masih ada pihak cuba mencetuskan kontroversi yang menurut wakil rakyat DAP itu hanya merosakkan keyakinan awam serta menjejaskan usaha mengembangkan sektor pelancongan.
“Jika anda tidak menyukainya jangan hadir. Tetapi jangan mengganggu orang lain atau memaksakan pandangan anda ke atas masyarakat.
“Kuala Lumpur mesti terus bergerak sebagai sebuah bandar moden, terbuka dan aktif dari segi ekonomi bukannya dihalang naratif melulu serta tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Lim turut menyambut baik kehadiran polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memantau keselamatan serta perjalanan acara berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata seramai 500 anggota ditempatkan di acara terbabit.
Festival itu dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame, sebuah syarikat inovasi jenama, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Acara itu telah menerima bantahan daripada pelbagai pihak, dengan Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkata ia tidak mencerminkan identiti Malaysia, manakala Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempersoalkan mengapa ia tidak dibatalkan di bawah langkah penjimatan kerajaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mempersoalkan kritikan tidak konsisten pihak tertentu terhadap penganjuran festival itu, dengan merujuk acara serupa pernah diadakan di Kedah yang ditadbir PAS.
Beliau memetik Festival Songkran yang dianjurkan di Kedah pada 18 April, sambil berkata ia juga diadakan secara besar-besaran dengan aktiviti percikan air menggunakan hos bomba.