Kritikan terhadap Rain Rave Water Music Festival tak konsisten, kata Tiong

Kritikan terhadap Rain Rave Water Music Festival tak konsisten, kata Tiong

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata acara serupa pernah diadakan di Kedah ditadbir PAS tanpa bantahan atau desakan supaya menteri besar letak jawatan.

Rain Rave Water Music Festival
Peserta disembur air sempena Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang malam tadi.
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mempersoalkan kritikan tidak konsisten pihak tertentu terhadap Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dengan merujuk kepada acara serupa yang pernah diadakan di Kedah yang ditadbir PAS.

Beliau memetik Festival Songkran yang dianjurkan di Kedah pada 18 April, sambil berkata ia juga diadakan secara besar-besaran dengan aktiviti percikan air menggunakan hos bomba.

“Saya ingin bertanya, mengapa tiada bantahan apabila perkara ini berlaku di Kedah? Bukankah kerajaan negeri Kedah dipimpin oleh PAS?” soalnya.

“Mengapa tiada desakan supaya menteri besar meletak jawatan? Mengapa isu ini perlu dipolitikkan?”

Acara tersebut telah menerima bantahan daripada pelbagai pihak, dengan Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkata ia tidak mencerminkan identiti Malaysia, manakala Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempersoalkan mengapa ia tidak dibatalkan di bawah langkah penjimatan kerajaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Hanifuddin Rosan berkata festival itu mungkin membawa kepada kemudaratan moral dan menjejaskan nilai masyarakat, sambil menegaskan bahawa hiburan tidak dilarang dalam Islam tetapi mesti mematuhi garis panduan syarak.

Festival yang berlangsung bermula hari ini hingga 2 Mei itu dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame, sebuah syarikat inovasi jenama, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Program selama tiga hari itu menampilkan gabungan DJ antarabangsa serta artis tempatan seperti Joe Flizzow, Dolla, De Fam dan Mimifly.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, kira-kira 500 anggota telah ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang acara.

Fadil turut memberi amaran kepada pengunjung agar menjaga keselamatan diri dan menjauhi aktiviti menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dadah atau perlakuan tidak bermoral.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.